Saturday, April 16, 2011

Kekili Menegak (Overhead Reel)


Kekili Menegak (Overhead Reel)

Kekili menegak / multiplier / baitcaster lazimnya lebih mahal bebanding kekili mendatar. Oleh itu, pastikan anda perolehi yang terbaik dari nilai yang dibayar. Kebanyakannya mengikut perkara yang sama seperti mana memilih kekili mendatar apabila anda ingin membeli kekili menegak atau baitcaster. Tetapi terdapat beberapa perkara tertentu yang perlu diperhalusi.

  1. Kurang, lebih baik.

Plat tapak atau kaki kekili seharusnya sebingkai. Malah lebih baik jika ianya sebahagian dari bingkai keseluruhan. Titik penyambung merupakan titik terlemah, jadi semakin kurang komponen individu, semakin kuranglah kelemahannya.

Oleh kerana tekanan yang dikenakan terhadap sebarang kekili menegak adalah bergerak ke hadapan sehingga ke hujung joran, maka kekuatan kaki kekili cukup kritikal. Inilah sebab mengapa kekili menegak saiz besar (multiplier) sering didatangi dengan sokongan alat pendakap (ia sepatutnya digunakan, tetapi selalunya pemancing menyimpannya dalam kotak) Petua : pastikan anda mengikat pendakap ini sebelum memasukkan tali dalam gelendung kekili.

Saya pernah melihat beberapa kekili menegak murahan yang di hujung kakinya boleh dibengkokkan dengan tangan sahaja kerana jenis logam atau penyambung rivetnya terlalu lembut.Ianya uga penting agar kaki kekili tidak terlalu panjang (terutama kekili berbadan grafit).

  1. Hati-hati dengan ruang celahan.

Toleransi antara gelendung dan badan kekili seharusnya minimum. Ujian terbaik aialah dengan mengisi tali tangsi ke dalam gelendung dan cuba selitkan ia di celahan antara gelendung dan plat dalaman kekili. Hari ini, diameter tali semakin halus. Jadi, janganlah sampai berlaku tali terselit di celahan tersebut sehingga menyebabkan kes paling buruk …..sarang burung (backlash)!

  1. Pastikan ketat

Sepatutnya tiada sebarang pergerakan ke dalam atau ke keluar pada pengayuh, dan juga tiada gerakan ke belakang atau ke depan apabila sistem tegangan diketatkan. Kekili murah kerap gagal di sini, akibat toleransi yang lemah pada pengunci pengayuh atau logam yang lembut pada shaf pengayuh.

  1. Sistem tegangan / Drag

Senggatan dari drag yang ketat sehinggalah gelendung bebas haruslah beransur-ansur dengan larasan minimum setelah tekanan drag berkurangan.

Amalan menahan gelendung sambil karau kekili melawan tekanan drag (walaupun semua orang melakukannya ), tidak banyak memberitahu kita tentang kelembutan drag. Jika drag terasa sangkut-sangkut semasa melakukannya, lebih baik anda berhenti, nanti tak pasal-pasal ianya jahanam dan anda terpaksa membayar ganti rugi.

Ujian terbaik untuk mengesan kelembutan kekili ialah dengan memuatkan tali dan lakukannya dengan joran. Tetapi ujian ini bergantung kepada kos kekili dan beberapa bagusnya servis kedai pancing itu, sama ada mereka sanggup lakukannya untuk anda.

Tetapi bagi saya, jika saya sanggup berhabis duit, pastilah saya mahukan yang terbaik dari kekili itu. Apa pun, mintalah kebenaran dari operator kedai pancing itu dahulu.

  1. Fikirkan jangkaan

Alat penyusun tali (level wind) kadangkala menimbulkan masalah dan paling cepat rosak. Pastikan anda boleh mendapat alat gantinya untuk komponen seperti palam dan shaf penyusun tali itu.Komponenini selalunya cepat haus, apatah lagi kalau dihuni garam dan pasir. Jangan lupa bersihkannya selalu.

Untuk mengelakkan masalah ini, saya selalunya sanggup berbelanja lebih untuk membeli alat ganti palam tersebut pada masa yang sama kekili dibeli. Lagipun, kita tak tahu sama ada kita boleh mendapatkan alat gantinya pada masa hadapan (bertambah teruklah jikalau anda tidak dapat menjumpai alat gantinya nanti).

  1. Mahirkan diri

Sistem kawalan lontaran pada kekili jenis ini biasanya berbeza-beza. Paling asas ialah tekanan dikenakan pada shaf gelendung melalui tombol plat sisi kepada magnetik atau emparan. Tiada siapa terutama orang baru boleh jamin lontaran pertamanya cukup sempurna, tetapi dengan latihan demi latihan, semua orang mampu memahirinya.

Namun fakta yang menyedihkan ialah baitcaster yang mahallah paling mudah dikendalikan oleh orang baru, Tetapi jika membeli baitcaster murah, lagi panjanglah tempoh pembelajarannya.

Gelendung seharusnya mampu dilaras sampai ke satu tahap yang mana ia dapat berpusing bebas dengan hanya sedikit pulasan jari anda(ada sesetengah kekili seakan mampu berputar selama-lamanya!)

Sebelum anda memilih kekili , anda harus tahu :

Apakah saiz dan berat gewang yang anda mahu lontarkan ?

Dimana anda berhajat nak memancing ?

Sejauh mana jarak yang anda pelukan untuk melontar gewang ?

Apakah jenis tali (tangsi atau sulam) dan saiz ketahanan yang anda ingin gunakan ?

Dengan mengetahui jawapan terhadap soalan-soalan ini, seleksi kekili lebih mudah ditentukan. Cuba timbulkan banyak persoalan, tidak kiralah berapa banyak yang anda rasa tahu jawapannya. Era perubahan dan inovasi peralatan memancing kini sangatlah pantas. Justeru, pilihlah dengan bijaksana.

Dipetik dari Majalah Sirip Bil : 52

No comments:

Post a Comment