Saturday, April 16, 2011

Kekili mendatar (Spinning reel)


  1. Keterangan Lisan

Tanyalah pengusaha atau operator kedai pancing tentang jenis kekili yang anda hajati. Kebanyakan dari mereka tentu biasa turun memancing (memang sepatutnya) dan tahu perbezaan peralatan yang mereka gunakan. Jika mereka dakwa tiada masalah pada kekili yang sesuai dengan kehendak anda itu, maka belilah model yang sama.

  1. Ujian Pemutaran

Semasa meneliti putaran pengayuh, sila tumpu perhatian terhadap sebarang kelonggaran cengkaman antara setiap gear. Pastikan pengayuhnya tegap, mengarau lancar, tidak bergoyang, atau berlaku keketatan dan tersangkut-sangkut.

Pengayuh pada sesetengah kekili mempunyai shaf gelincir dan skru kunci bertentangan, tetapi shaf sepatutnya cukup muat tanpa sebarang kelonggaran. Pegang rotor gelendung dari berpusing, kemudian gerakkan pengayuh ke depan dan belakang untuk menyukat kelonggaran antara gear.

  1. Ujian Lekap

Sentiasalah bawa magnet kecil bersaiz poket. Dengan melalukan magnet pada semua skru luaran dan komponen, kita boleh mengesan ruang yang berkemungkinan akan karat.

Walaubagaimanapun, magnet bukanlah ujian tepat untuk logam tahan karat (stainless steel), kerana ada sebilangan gred logam tahan karat yang magnetic (boleh karat). Krom atau skru tembaga bersalut (yang bukan magnetik) juga kerap digunakan dan tidak akan karat. Ingat, karat dan hakisan adalah musuh anda.

  1. Helah Galas Bebola

Fenomena terbaru ialah penyendatan banyak galas bebola. Sebenarnya bilangan galas bebola dalam kekili bukanlah petunjuk kualiti atau ketahanannya. Selalunya galas bebola yang ditempatkan dalam reka bentuk kekili yang kurang baik adalah dari bahan berkualiti rendah dan cenderung terhakis atau terdedah kepada kemasukan butiran pasir, garam dan air. Jika banyak galas bebola sebegini, lagi banyaklah masalah yang bakal timbul.

Cuba lihat gambarajah pecahan kekili yang disertakan dalam kotak kekili anda. Ianya patut diteliti dan ditanyakan soalan kepada operator kedai pancing tentang kualiti komponen tersebut, misalnya gear dan galas bebola.

  1. Pastikan ketat.

Cuba pegang gelendung dengan sebelah tangan, dan tarik ia ke atas atau tekan ke bawah (jangan memaksa) untuk melihat sama ada wujudnya sebarang pergerakan yang longgar dalam shaf utama (sepatutnya tiada).

Banyak kali saya lihat kekili yang baru keluar dari kotak tidak diketatkan shaf utama dengan kemas pada galas pemutarnya. Walaupun ianya boleh diketatkan dengan Cuma separuh putaran pemutar skru, tetapi jika tidak diendahkan, boleh mengakibatkan kekili kehilangan skru yang penting pada komponen dan gear-gear berputar.

6. Pemadanan

Jika anda ingin padankan kekili baru dengan sebatang joran lama (atau sebaliknya), bawalah joran anda ke kedai dan cuba pasang kekili itu pada joran. Inilah satu-satunya cara terbaik untuk memadankannya.

Kadangkala kaki kekili itu terlalu besar, lebar, runcing atau kecil untuk dimuatkan kemas pada joran. Joran mungkin lebih panjang atau pendek dari yang anda mahu beli (malah koordinasi warna pun tak ngam).

  1. Faktor X

Jika anda tidak pernah mendengar jenanmanya, itu bukanlah alasan untuk tidak ambil pusing. Seperti yang saya katakan pada awal tadi, terlalu banyak jenama barucuba menerobos pasaran dan ada juga yang “ tak boleh pakai”. Memang sukar untuk mengetahui kebaikan yang ia tawarkan. Jadi, siasatlah betul-betul kekili yang anda ingin beli, bukan sekadar untuk model yang dipamerkan sahaja.

  1. Kilau tak semestinya emas.

Ingat, kekili baru yang berkilat bukanlah kekal sedemikian rupa selepas beberapa trip memancing. Pengilang meletakkan plastic berplat logam berlebihan pada kekili supaya ia kelihatan lebih cantik dan anggun, tetapi masalah hakisannya tetap meningkat. Benda-benda berkilat pada kekili selalunya memerlukan lebih perhatian (seperti menggilap selepas terdedah pada air masin) supaya tidak rosak dan pudar.

  1. Jika tak berfungsi di kedai, ia tidak berfungsi di bot.

Aksi lengan pengarau atau “bail arm” kekili hendaklah positif dan tidak gagal bertindakbalas semasa anda mengujinya berulang kali di kedai pancing. Roda pemandu tali seharusnya berputar bebas dan anda hendaklah mengujinya butang anti-balikannya beberapa kali untuk melihat sama ada ia sentiasa berfungsi atau tidak.

Jika anda tidak pasti dengan fungsi setiap tombol kecil dan system pada kekili, maka tanyalah kepada pekedai. Itulah sebabnya mereka berada di situ dan janganlah baru nak baca kertas keterangannya sesudah pulang. Tiada orang anggap anda bodoh jika bertanya apakah fungsi tombol itu, tetapi bukankah lebih bodah kalau kekili dibawa kembali hanya semata-mata anda tak tahu bagaimana hendak menggunakannya ?

  1. Hakisan, musuh anda.

Lihat segenap ruang atau celahan (gap) terutama antara badan kekili dan di bawah rotor gelendung. Saya pernah melihat kekili yang mempunyai celahan cukup besar yang membolehkan pasir memasukinya (Inilah antara sebab mengapa kita tdak digalakkan membuka komponen kekili untuk memperbaiki semasa pergi memancing).

  1. Nikmatilah bunyinya

Di bawah gelendung kekili mendatar terdapat palam penggera tegangan. Kliker logam kecil inilah yang akan melagukan bunyi yang kita semua suka mendengarnya apabila ikan lari menggila.

Komponen ini serta spring di belakangnya hendaklah jenis logam (plastic tak tahan lama) dan hendaklah diikat dengan skru, bukan klip. Sesetengah pengilang menggunakan klip dan percayalah pada saya, jika ia tercabut walaupun tidak patah, ia tak akan kembali pulih seperti sedia kala. Lama kelamaan anda terpaksa ganti spring atau bersihkan belakang palam, jadi ini hendaklah boleh dicapai dan boleh diganti.

Kesimpulanya, ambillah masa untuk memilih. Cuba karau, mainkannya, lihat dengan teliti dan timbulkan persoalan. Ia mungkin kekili yang hanya berharga RM100, tetapi ia tetap bernilai juga. Justeru, kenalah tahu apa yang anda mahu.

Dipetik dari majalah Sirip Bil : 52

No comments:

Post a Comment